JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), menjangkakan bekalan makanan asas menjelang Ramadan dan hari raya mencukupi.
Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihak KPDN dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), sentiasa bekerjasama berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun menurut Salahuddin, pihaknya turut berwaspada dengan situasi semasa yang terutamanya banjir di Johor, Pahang dan sebahagian Melaka.
"Keadaan banjir ini turut menyebabkan beberapa kebun sayur musnah dilanda banjir.
"Bagaimanapun, kami di KPDN bekerja hampir setiap hari...dan kita bukan hanya bekerja untuk semusim.
"Semalam (Rabu), pegawai tertinggi KPDN pergi ke Cameron Highlands untuk pastikan punca bekalan dapat menampung kapasiti pengeluarannya (sayur)," katanya pada sidang media dempena pelancaran Menu Rahmah di sebuah restoran di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya tidak ada menerima laporan mengenai kenaikan harga terutamanya bagi barangan asas makanan di pasaran.
"Setakat ini, kita tidak ada menerima laporan peniaga menaikkan harga barang.
"Kalau ada, kita akan mengambil tindakan tegas kerana isu pencatutan itu sentiasa dalam pengawasan kita," katanya.