IPOH - Polis menafikan berlakunya kejadian culik bayi perempuan berusia lima hari yang dilarikan oleh wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Nurul seperti yang ditularkan di laman sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, berkaitan dengan isu yang ditularkan itu, pihaknya ada menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang wanita berusia 40 tahun, semalam.
Bagaimanapun, menurutnya, fakta yang diterimanya berlainan dengan mesej yang tular itu percayai diubah semasa penyebaran di aplikasi WhatsApp.
"Berdasarkan fakta kes, Nurul merupakan bekas pekerjanya telah mengandung lapan bulan dan tinggal dengan pengadu sejak Mac lalu. Dia juga meminta pengadu mencarikan sesiapa yang mahu bayi yang akan dilahirkannya.
"Pengadu sanggup mengambil dan memelihara bayi berkenaan sebagai anak angkat dan Nurul berjanji mahu serahkan bayinya dengan syarat perlu membiayai kos rawatan hospital dan menangung kos untuknya pulang ke Indonesia," katanya.
Mohd Ali berkata, pengadu telah membawa Nurul tinggal bersamanya di Taman Ipoh Permai selepas selamat bersalin pada Khamis minggu lalu.
"Pada Ahad lalu, pengadu bersama ahli keluarganya telah keluar rumah pada jam 9.30 malam dengan meninggalkan wanita terbabit bersama bayinya dan pengadu menyedari mereka hilang selepas tiba di rumah pada jam 12.30 tengah malam.
"Pengadu membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan bayi tersebut yang mempunyai demam kuning dan mahu mendapatkan semula bayi terbabit seperti yang dijanjikan sebelum itu.
"Kehadiran dua beranak terbabit diperlukan bagi membuat pendaftaran di Jabatan Kebajikan Masyarakat selain telah menghabiskan lebih RM3,000 untuk perbelanjaan keseluruhan," katanya.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan rujuk kepada mahkamah (RKM) dan pihaknya menasihatkan pengadu untuk membuat tuntutan sivil ke atas Nurul kerana mungkir janji.