Waran tangkap: Exco Terengganu akan ke mahkamah Ahad ini

Iklan
Mohd Nor gagal hadir memberikan keterangan di perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang pada Khamis.

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, beliau akan hadir memberi keterangan pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Ahad ini.

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata, ketidakhadirannya pagi tadi adalah kerana terlibat dengan beberapa program kerajaan negeri selain telah mencadangkan kepada peguam Barisan Nasional (BN) pada Rabu agar sesi perbicaraan itu dilaksanakan pada sebelah petang.

Iklan
Iklan

"Petang Rabu, PA (pembantu) saya memaklumkan peguam BN cadang supaya (saya) hadir pada 10 pagi Khamis (hari ini) tetapi saya mencadangkan petang sebab saya banyak komitmen program pada sebelah pagi,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor kerana gagal hadir memberi keterangan pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.

Iklan

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong itu.

Perbicaraan bagi Petisyen Pilihan Raya Parlimen Marang bersambung Ahad ini (19 Mac).

Iklan

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lepas menolak bantahan awal yang dikemukakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN. - Bernama