PUTRAJAYA - Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bertemu dengan rakan sejawatnya, Ali Sabry dari Sri Lanka dan Abdulla Shahid dari Maldives semasa lawatan kerja tiga harinya ke London yang berakhir pada Rabu bersempena sambutan Hari Komanwel.
Zambry dalam kenyataan pada Khamis berkata, dalam pertemuannya dengan Ali, kedua-dua mereka senada dalam usaha untuk terus meningkatkan hubungan baik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak sekian lama.
Kedua-dua menteri percaya masih banyak peluang dan ruang untuk penambahbaikan terutamanya dalam aspek pelaburan.
"Menurut beliau (Ali), Malaysia adalah antara penyumbang utama kepada pembangunan sektor telekomunikasi di Sri Lanka,” katanya.
Zambry berkata, banyak lagi bidang pelaburan baharu yang boleh diterokai secara bersama di Sri Lanka seperti pembangunan pelabuhan, industri hospitaliti dan industri penapisan petroleum.
Tambahnya, perkara berkenaan akan terus diperhalusi melalui mekanisme Rundingan Dua Hala antara Malaysia dan Sri Lanka.
Dalam pertemuan dengan Menteri Luar Maldives, Zambry berkata, mereka membincangkan pelbagai perkara terutamanya usaha untuk meningkatkan ketersambungan bagi mengeratkan hubungan dan merancakkan interaksi di antara rakyat Malaysia dan Maldives.
"Saya juga telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Maldives di dalam bidang pelancongan dan kebudayaan,” katanya.
Selain itu, kedua-dua menteri turut bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu global dan rantau yang berkepentingan bersama dan sependapat bahawa Malaysia dan Maldives harus terus bekerjasama rapat bagi menjaga keamanan dan kestabilan rantau ini.
"Pada tahun ini, Malaysia dan Maldives meraikan ulang tahun ke-55 penubuhan hubungan diplomatik. Sejak 1968, hubungan dua hala kita semakin kukuh dengan Maldives di atas faktor kesamaan nilai budaya dan agama,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry turut mengambil peluang mengadakan pertemuan bersama rakyat Malaysia yang berada di London dan berbincang mengenai pelbagai isu domestik dan hal ehwal luar negeri Malaysia.
"Ternyata, walaupun jauh dari kampung halaman, rasa patriotik dan cintakan negara tidak pernah pudar walau di mana pun mereka berada. Mereka tetap memberikan pelbagai idea dan cadangan dalam usaha bersama-sama membangunkan negara,” katanya.
Zambry berkata, cadangan-cadangan mereka akan disampaikan kepada kabinet untuk sama-sama diperhalusi.
Zambry mengetuai delegasi Malaysia ke tiga acara penting Komanwel di London iaitu Sambutan Hari Komanwel, Mesyuarat Kumpulan Tindakan Menteri-menteri Komanwel (CMAG) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Hal Ehwal Luar Komanwel (CFAMM). - Bernama