KUALA LUMPUR - Perincian mengenai mekanisme dan dasar pelaksanaan subsidi bersasar dijangka diumumkan selepas pertengahan tahun ini dengan bengkel mengenai perkara itu sudah dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh.
"Antara yang kita sedang lihat ialah menambah kuota, macam mana hendak pastikan orang yang layak menerima (subsidi). Sekarang kita guna subsidi pukal, memang dekat kedai ada jual.
"Kalau ia (subsidi) bersasar mungkin ia (barangan bersubsidi) tidak dijual di kedai lagi,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut memandang serius isu ketirisan minyak masak peket bersubsidi yang semakin sofistikated.
Menurutnya KPDN sedang meneliti untuk memperkasa bahagian penguatkuasaan di bawah kementerian itu bagi menjadikannya sebagai sebuah jabatan, sejajar dengan keperluan semasa.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM1.19 bilion bagi KPDN dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti.
Persidangan dewan bersambung Isnin depan. - Bernama.