DUNGUN - Seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) maut kerana dipercayai keracunan makanan di Gunung Gelemat, Kuala Jengai, di Hulu Dungun, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Nazli Ajis, 36, disahkan meninggal dunia sejurus pegawai perubatan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6.35 petang.
Menurut Baharudin, pihaknya menerima maklumat mengenai keadaan mangsa yang kritikal dan tidak sedarkan diri.
"Sebaik sahaja tiba di Klinik Kesihatan Bandar Al Muktafi Billah 45 minit kemudian, pegawai perubatan sekali lagi membuat pemeriksaan dan mengesahkan kematian," katanya di sini pada Khamis.
Difahamkan, mangsa yang merupakan anggota Perhilitan Daerah Mersing, Johor, bersama 12 rakan sekerjanya ke gunung tersebut sejak 9 Mac lalu untuk Program Pemantauan dan Perlindungan Kuang Gunung di Gunung Gelemat, Taman Negara.
Baharudin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, operasi menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit.
"Kita terpaksa menggunakan helikopter AW189 berikutan jarak dan laluan ke gunung tersebut memakan masa hingga tiga hari menerusi jalan darat," katanya.