Dua restoran hotel kotor diarah tutup

Iklan
Perkakas dan peralatan yang didapati tidak disusun dengan rapi.

MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengarahkan dua daripada 44 restoran hotel di negeri ini ditutup sementara menjelang Ramadan kerana tahap kebersihan tidak memuaskan termasuk terdapat najis tikus.

Pengarahnya, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pemeriksaan yang dijalankan selama dua hari bermula Rabu hingga Khamis mendapati dua daripadanya diarahkan tutup sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, arahan itu dikeluarkan setelah JKN Melaka melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Unit Inspektorat dan Perundangan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan dan kebersihan premis di bawah Akta Makanan 1983, penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan kebersihan persekitaran hotel di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975).

Simpanan air batu yang didapati bercampur dengan makanan mentah lain.


"Kami juga melaksanakan pemeriksaan kebersihan persekitaran premis dengan lapan hotel dikenal pasti ada tempat pembiakan jentik-jentik," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Iklan

Ujar beliau, sebanyak 17 kompaun kesalahan turut dikeluarkan dengan nilai RM4,250 atas kesalahan kerana tidak memasang papan tanda larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Penguat kuasa menemui pembiakan jentik-jentik di salah sebuah restoran hotel yang dikompaun JKN Melaka.


Kata beliau, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan dan kebersihan premis pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau membuat aduan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my

Iklan

"JKN Melaka sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan pengguna," ujar beliau lagi.