Pemuda sokong Aminuddin kekal terajui UMNO Tambun

Iklan
Akmal Zharif (tengah) menyampaikan ucapan selepas diumum memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun pada pemilihan yang berlangsung pada 11 Mac lalu.

IPOH - Pemuda UMNO Bahagian Tambun menyatakan sokongan terbuka terhadap penyandang Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Aminuddin Md Hanafiah untuk mengekalkan jawatan berkenaan pada pemilihan kali ini.

Ketuanya, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata, tindakan itu disifatkan wajar kerana mahu melihat pentadbiran dan organisasi UMNO Bahagian Tambun kekal stabil.

Iklan
Iklan

Beliau yang baharu memenangi jawatan tersebut pada pemilihan kali ini berkata, kestabilan lebih penting dalam keadaan UMNO yang agak lemah ketika ini.

"Adakah itu yang terbaik dan stabil untuk UMNO Tambun? Kalau itu yang terbaik, alhamdulillah. Tapi saya takut kalau perubahan nanti yang kita laung-laungkan ini, sepatutnya bawa kebaikan tetapi lebih membawa keburukan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tambun kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Aminuddin dengan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun, Faridzul Azlan Abd Shani yang akan dipilih oleh perwakilan pada Sabtu ini.

Sementara itu, Akmal Zharif berkata, urusan pasca pemilihan lebih penting untuk menyatukan semula ahli-ahli, penyokong dan pemimpin parti yang bersaing dalam pertandingan kali ini.

Iklan

Jelasnya, saf di dalam parti perlu dirapatkan semula dengan yang menang tidak meminggirkan calon-calon kecundang manakala calon yang kalah pula perlu menerima keputusan dengan hati terbuka.

"Sebab itu apabila saya menang, dalam ucapan sulung saya sebagai ketua pemuda, saya nyatakan bahawa saya buka ruang seluas-luasnya kepada semua ahli pemuda tambun bukan setakat yang menang tetapi terbuka kepada semua yang ingin sumbang idea dan keringat.

"Jangan anggap yang menang jawatankuasa sahaja yang boleh menyumbang. Saya bawa pendekatan yang berbeza, UMNO perlu dilihat lebih inklusif. Sebagai pemimpin muda kita perlu berani dan laju buat keputusan dan tindakan. Kalau keputusan tidak berapa tepat, kita belajar dari kesilapan. Jangan takut untuk buat kesilapan," katanya.

Dalam pada itu, Akmal Zharif turut menjelaskan sokongan terbuka itu tidak bermaksud menidakkan kemampuan Faridzul Azlan yang pernah memimpin Pemuda UMNO Tambun sebelum ini tetapi demokrasi membolehkan kita membuat pilihan.