GAZA - Hamas beri amaran kepada Israel bahawa sebarang perubahan terhadap status quo Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis akan menyebabkan kawasan itu berubah seperti dilanda gempa bumi.
Timbalan Ketua Bridged al-Qassam, Marwan Issa, mengeluarkan amaran itu dalam satu wawancara dengan saluran satelit yang berpangkalan di Gaza, Tv al Aqsa.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan kedua-dua belah pihak semakin meningkat terutama ketika menjelang bulan Ramadan dan perayaan Paskah Yahudi di Baitulmaqdis serta pekarangan Masjid al-Aqsa.
Menurut Marwan, tiada proses politik dan musuh mereka, merujuk kepada Israel, sudah membatalkan Perjanjian Oslo yang ditandatangani antara Israel dan Palestin pada tahun 1993.
Tambahnya, ia dilakukan supaya hari-hari akan datang dipenuhi dengan peristiwa dan tragedi.
Katanya, Hamas akan mempertahankan rakyat Palestin dengan menggunakan kekuatan yang ada tanpa memerlukan sebarang campur tangan pihak lain.
Pada April lalu, perkarangan Masjid al-Aqsa menyaksikan pertempuran antara jemaah Palestin dan pasukan polis Israel ketika orang Yahudi melawat tapak suci berkenaan, menyebabkan 12 jemaah Palestin cedera.
Ancaman oleh Hamas itu juga berlaku di tengah ketegangan yang sedang memuncak di Tebing Barat sejak Januari lalu.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sejak Januari lalu terdapat 84 rakyatnya dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, manakala 14 lagi warga Israel turut terbunuh dalam tempoh yang sama. - Awani