MARANG - Pasukan bomba mengambil masa hampir 30 minit untuk menyelamatkan seorang pencari madu lebah yang terjatuh dari sepohon pokok tualang sebelum terjunam ke dalam sebuah cerun di Bukit Jejulong dekat Kampung Jejulong, di sini malam Khamis.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Roslan Yusuf berkata, mangsa Azmi Ibrahim, 29, yang sedang mencari madu lebah terjatuh dari pokok tualang setinggi 28 meter sebelum terjunam ke dalam cerun sedalam 15 meter.
Iklan
Iklan
"Selepas hampir 30 minit mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan tali dan alat pengusung kerana mangsa yang patah kedua-dua kakinya tidak dapat bergerak. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Roslan berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan Mohd Zaki Husin, 46, masuk ke dalam hutan di Bukit Jejulong selepas waktu asar untuk mencari madu lebah sebelum dia tergelincir di atas pokok lalu terjatuh ke dalam cerun.
Katanya, Mohd Zaki cuba membantu untuk mengeluarkan mangsa, namun tidak berjaya dan dia keluar dari hutan itu untuk mendapatkan pertolongan. - Bernama
Artikel Berkaitan