SHAH ALAM - Buku bertajuk 'Pesona Personaliti-Seni Mengenal Diri dan Mengubah Peribadi' yang bakal dilancarkan Sabtu ini adalah sebagai usaha membantu pembaca untuk mengubah sikap dan peribadi supaya menjadi lebih baik secara praktikal.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, walaupun buku itu khusus kepada wanita namun ia juga sesuai sebagai bacaan umum kerana mendorong pembaca untuk berfikir selain mengubah personaliti supaya disayangi tuhan dan manusia.
"Setelah sekian lama kita tak adakan pelancaran buku, maka kita adakan majis secara tertutup pada Sabtu ini dengan anggaran seramai 200 tetamu yang hadir.
"Ia merupakan sebuah majlis ringkas untuk meraikan sama penulis buku iaitu Muna 'Izzah Fadzil yang akan melancarkan buku berkenaan.
"Kita harap orang ramai membeli buku tersebut kerana kandungannya sangat bagus untuk panduan setiap wanita," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sabtu ini, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail turut dijadualkan menyempurnakan pelancaran buku terbitan Karya Bestari, Group Buku Karangkraf Sdn Bhd itu.
Pelancaran akan berlangsung di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini bermula jam 2 petang hingga 4.30 petang.
Buku berkenaan merupakan hasil karya pertama Perunding Personaliti Seanggun Bidadari, Muna 'Izzah Fadzil bersama Karya Bestari.
Hasil karya pertama Muna 'Izzah itu memfokuskan kepada pembinaan peribadi dan sikap.
Selain itu, ia adalah buku berkonsep 'self help' yang dapat membantu pembaca dalam mengenal kelebihan diri serta mengubah sikap dengan teknik-teknik diberikan secara praktikal.
Kandungan buku berkenaan berdasarkan garapan pengalaman sendiri dan orang lain, ilmu, pembacaan, pembelajaran, pengetahuan serta penelitian terhadap keadaan sekeliling.