CELCOMDIGI Berhad (CelcomDigi) mengalu-alukan pemilik perniagaan dari semua segmen pada Minggu Teknologi Perniagaan di Sabah untuk mengenal pasti teknologi serta penyelesaian digital yang betul bagi organisasi mereka.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Afizulazha Abdullah berkata, pemilik perniagaan yang hadir pada program itu memperoleh pandangan dan pengalaman daripada pelbagai kes penggunaan dipamerkan daripada rakan kongsi CelcomDigi meliputi teknologi dan inovasi seperti 5G, 'Cloud', 'IoT', keselamatan siber selain penyelesaian sambungan tetap serta pengalaman Metaverse.
Ujarnya lagi, ia merupakan edisi kedua Minggu Teknologi Perniagaan CelcomDigi bagi tahun ini yang bermula di Johor pada bulan lepas.
"Sudah terbukti penerapan teknologi dan penyelesaian digital yang betul adalah berkesan dalam membantu organisasi meningkatkan kecekapan operasi, menawarkan pengalaman pelanggan lebih baik sekali gus memacu pertumbuhan perniagaan.
"Memandangkan setiap organisasi yang berlainan mempunyai keperluan digital tersendiri, kami telah melancarkan Minggu Teknologi Perniagaan CelcomDigi untuk mendekati perniagaan-perniagaan di seluruh Malaysia.
"Ini bertujuan menyelami cabaran mereka serta mengatasinya dengan penyelesaian teknologi dan digital yang disesuaikan dengan keperluan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Afizulazha, pihaknya yakin mempunyai kepakaran dan sumber sesuai untuk menjadi rakan kongsi digital syarikat berkenaan yang dipercayai selain menyokong perjalanan digitalisasi mereka.
Pameran selama dua hari itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun bersama Afizulazha.
Program edisi Sabah yang berlangsung dari 16 hingga 17 Mac 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) berkenaan membolehkan pemilik perniagaan berpeluang berhubung dengan pelbagai syarikat peneraju industri.
Antaranya Ericsson, Fortinet, Infront Consulting, HTC, Rogue Asia, Garuda Robotics, Huawei, Active Telematics, M1, Sole Vision, Syndes, Athena Dynamics, LGMS, Telefonica, SecurityScorecard, Bridgenet, Cybereason, Tech Titan, dan XR Associates.