KUALA LUMPUR - Penyakit Bovine Spongiform Encephalopathy (BSE) yang menyerang ternakan di Brazil awal tahun ini adalah daripada jenis Atypical BSE jenis H yang berlaku secara semula jadi terhadap ternakan tua dan tidak menyebabkan penyakit kepada manusia.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam kenyataanpada Jumaat memaklumkan sehubungan itu, orang awam tidak perlu bimbang tentang pengambilan daging atau produk lembu dari luar negara.
Iklan
Iklan
Menurut jabatan itu, BSE terbahagi kepada Classical BSE yang berlaku melalui penggunaan makanan atau produk makanan yang dicemari prion (pengumpulan protein yang tidak normal), Atypical BSE jenis H dan Atypical BSE jenis L yang masing-masing berlaku secara semula jadi pada ternakan tua.
"Hanya Classical BSE yang boleh menyebabkan penyakit Varian Creutzfeldt-Jakob (vCJD) pada manusia yang memakan daging atau produk makanan yang tercemar dengan prion.
"Atypical BSE jenis H dan L tidak menyebabkan sebarang penyakit kepada manusia,” menurut DVS.
BSE merupakan penyakit kronik pada lembu yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menunjukkan tanda dan ia pertama kali dikesan di United Kingdom pada 1986. - Bernama