Skuad badminton Sukan SEA perlu serap semangat juang Tze Yong

Iklan
Tze Yong yang melakar kejutan menumpaskan Viktor Axelsen dalam saingan All England, malam Khamis.

SKUAD badminton negara ke Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja diminta untuk menyerap semangat juang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang melakar kejutan menumpaskan Viktor Axelsen dalam saingan All England, malam Khamis.

Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Sharon Wee berkata, barisan pemain muda ke temasya dwitahunan itu Mei ini, perlu menanamkan rasa tidak gentar dalam diri apabila berdepan dengan pemain yang mempunyai ranking lebih baik daripada mereka.

Iklan
Iklan

"Saya harap kontinjen badminton Sukan SEA akan mengikut jejak langkah Tze Yong, tidak takut serta gentar berdepan pemain ranking tinggi.

"Atlet perlu percaya kepada proses latihan serta diri mereka kerana apa jua boleh berlaku dalam sukan asalkan beri 150 peratus di gelanggang," katanya sempena lawatan ke sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pada Jumaat.

Iklan

Menurut Sharon, berbaki beberapa minggu lagi sebelum temasya tersebut membuka tirai daripada 5 hingga 17 Mei ini, kemaraan Tze Yong itu dilihat mampu meningkatkan emosi serta mental pemain muda yang menggalas cabaran di Sukan SEA nanti.

Pada Khamis, Tze Yong menghuni ranking ke-28 dunia mencipta sensasi apabila menyingkirkan Axelsen yang juga penyandang juara All England pada aksi pusingan kedua di Arena Utilita di Birmingham.

Iklan

Pertembungan sulung dengan jaguh dunia dari Denmark itu menyaksikan Tze Yong menampilkan semangat juang yang tinggi mendahului perlawanan dengan keputusan 21-15 sebelum tewas di set kedua 9-21 namun bangkit menoktahkan kemenangan 23-21 di set penentuan.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata, skuad negara setakat ini menyasarkan satu pingat emas di Phnom Penh.

"Kami ada berbincang sebelum ini berkemungkinan satu emas. Mengenai prospek itu ia mungkin hadir daripada acara perseorangan lelaki atau berpasukan lelaki tapi ia juga bergantung dengan pasukan mana kita bertemu," katanya.

Pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, skuad badminton negara menepati sasaran satu pingat emas menerusi acara beregu campuran selepas gandingan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei menewaskan rakan senegara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See di saingan akhir. - Bernama