Dua pilihan VAR di Liga-M

Iklan
Hamidin (kiri) mengadakan pertemuan dengan Collina.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang menimbangkan dua pilihan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang boleh digunakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, dua pilihan VAR itu ialah Full VAR atau VAR Light yang boleh menjadi pilihan selepas beliau mendapatkan penerangan terperinci daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Pierluigi Collina pada Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda.

Iklan
Iklan

"Collina menjelaskan ada dua jenis VAR yang boleh menjadi pilihan kita, iaitu ‘Full VAR’ yang dilengkapi dengan minimum lapan kamera atau ‘VAR Light’ iaitu kurang dari lapan kamera.

"Namun, Collina mengingatkan kualiti pastinya jauh berbeza dengan Full VAR jika memilih untuk menggunakan VAR Light,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, FAM akan membincangkan tindakan susulan yang akan diadakan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Unit Pengadil FIFA mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, FAM memaklumkan VAR akan mula diperkenalkan dalam saingan Liga-M musim ini, namun tidak secara menyeluruh kerana ia memerlukan latihan dan beberapa siri ujian terhadap teknologi tersebut.

Iklan

Dalam pada itu, Hamidin yang turut menghadiri mesyuarat Majlis FIFA pada Selasa lalu berkesempatan berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Rashid Al Nuaimi; Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser Al Misehal; Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun, Kohzo Tashima; Presiden Persatuan Bola Sepak Montenegro, Dejan Savicevic; Presiden Persatuan Bola Sepak Cyprus, George Koumas; Presiden Persatuan Bola Sepak Fiji, Rajesh Patel; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Qatar, Mansour al-Ansari dan Ahli Majlis FIFA dari CAF yang juga ahli Lembaga Pengarah Yayasan FIFA, Isha Johansen.

"Dalam pertemuan ini kita membincangkan potensi kerjasama dua hala terutama buat pasukan kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara antaranya Fiji, Montenegro, Cyprus, Sierra Leon dan Rwanda.

"Kita juga membincangkan secara terperinci dengan UAE, Arab Saudi, Qatar, Jepun dan Republik Korea mengenai pemain negara yang dilihat berkualiti dan berminat untuk dihantar bermain dengan liga negara terbabit,” katanya.

Kongres FIFA di Kigali itu turut menyaksikan Gianni Infantino dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden untuk empat tahun lagi.

"Sokongan dan komitmen beliau kepada bola sepak Asia, Asean khususnya amat dihargai dan beliau sememangnya layak untuk terus memimpin FIFA,” kata Hamidin.