PONTIAN - Seramai kira-kira 100,000 perwakilan membabitkan 189 bahagian UMNO seluruh negara akan melaksanakan tanggungjawab memilih kepimpinan peringkat bahagian dan pusat pada Sabtu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, secara purata setiap bahagian mempunyai perwakilan seramai 500 hingga 700 orang.
"Daripada 191 UMNO bahagian, terdapat dua bahagian tidak akan mengadakan persidangan perwakilan UMNO bahagian pada tahun ini iaitu Tanah Merah di Kelantan dan Kota Kinabalu (Sabah).
"UMNO Bahagian Tanah Merah masih digantung sejak 16 Jun 2020, manakala UMNO Bahagian Kota Kinabalu disebabkan masalah UMNO cawangan di bahagian tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melawat perusahaan membuat otak-otak di Pontian Besar di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berharap Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) dapat memastikan proses pemilihan berjalan lancar.
"Diharapkan, segalanya akan bermula jam 8 pagi supaya sekitar jam 10 malam esok, kita sudah dapat bayangan siapa yang menang di peringkat bahagian dan pusat.
"Semoga esok, tiada isu berkaitan pelanggaran peraturan yang timbul. Semuanya perlu mengikut peraturan agar teratur sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) pemilihan yang ditetapkan,"ujarnya.
Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan, setiap perwakilan parti perlu memilih pemimpin terbaik yang mampu menerajui UMNO dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
"Kita tidak mahu pemimpin yang hanya ingin jawatan tetapi tidak melakukan tugasan yang diberikan.
"Senarai mereka yang bertanding di peringkat pusat sudah diedarkan begitu juga dengan senarai di peringkat bahagian sudah diketahui, maka pilih pemimpin terbaik.
"Pemilihan parti ini diharapkan dapat menghasilkan pemimpin hebat yang dapat mengembalikan kekuatan UMNO di peringkat bahagian dan pusat," katanya.
Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac ini dengan berlangsungnya mesyuarat perwakilan dan pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara serentak di seluruh negara.