Ancaman keselamatan siber meningkat - Nie Ching

Iklan
Tahun lepas negara mengalami sejumlah serangan siber yang serius termasuk serangan perisian tebusan, percubaan pengintipan siber, kebocoran data dan penipuan siber. - Gambar hiasan
SEPANG - Ancaman keselamatan siber di Malaysia meningkat sejak beberapa tahun ini terutama dari segi kekerapan dan keseriusan serangan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, tahun lepas sahaja negara mengalami sejumlah serangan siber yang serius termasuk serangan perisian tebusan, percubaan pengintipan siber, kebocoran data dan penipuan siber.

"Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima sejumlah 3,482 panggilan tulen yang merekodkan kerugian RM27 juta bagi Januari dan Februari tahun ini sahaja,” katanya selepas pelancaran #BeCyberSmart, kempen keselamatan siber dan PROTECT 360, aplikasi penyelesaian keselamatan rangkaian semua-dalam-satu, di sini pada Jumaat.

Kempen tersebut akan menampilkan pelbagai inisiatif termasuk libat urus dalam mendekati rakyat dan mempromosikan amalan terbaik keselamatan siber, serta mempromosikan PROTECT 360 iaitu aplikasi yang memberi keselamatan lengkap, privasi dan perlindungan identiti pada peranti selain perlindungan terhadap perisian hasad, pancingan data dan cubaan penggodaman.

Nie Ching berkata, NSRC yang ditubuhkan pada Oktober lepas sebagai pusat arahan untuk menyelaraskan respons pantas bagi kes penipuan kewangan dalam talian, menerima lebih 4,000 panggilan setiap bulan namun tidak semua panggilan tersebut adalah tulen.

"Serangan siber boleh mendatangkan kesan yang sangat teruk kepada individu, perniagaan dan kerajaan, daripada kerugian kewangan hingga kepada pelanggaran maklumat peribadi serta gangguan perkhidmatan penting,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan memperakui pentingnya isu keselamatan siber dan jenayah siber, justeru sedang berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan melindungi rakyat dan keselamatan negara.

Menurutnya, komitmen itu dicerminkan melalui Belanjawan 2023 apabila RM10 juta diperuntukkan kepada NSRC untuk menaik taraf peralatan dan memulakan kempen kesedaran serta mempromosikan talian hotline 997. - Bernama