Kes Guan Eng: Permohonan laporan forensik WhatsApp ditolak

Iklan
Guan Eng
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menolak bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwaan terhadap permohonan pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik perbualan dalam aplikasi WhatsApp antara dua ahli perniagaan, dalam kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng.

Sehubungan itu, Azura menetapkan 23 Mac untuk mendengar permohonan pembelaan yang dibuat mengikut Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

Laporan forensik itu membabitkan perbualan antara ahli perniagaan G. Gnanaraja dan pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berhubung pemberian ‘Coklat RM2 juta’ yang didakwa telah diberikan kepada Guan Eng sebagai rasuah.

Terdahulu, Wan Shaharuddin ketika berhujah, mempersoalkan permohonan laporan forensik itu memandangkan saksi pendakwaan iaitu Zarul Ahmad serta dua pegawai dari CZCSB, Azli Adam dan Ibrahim Sahari masih belum menghabiskan keterangan mereka.

"Azli masih disoal balas separuh jalan oleh pihak pembelaan manakala Zarul sehingga sekarang masih disoal balas mengenai RM19 juta yang dibayar kepada Gnanaraja, yang Zarul sendiri mengaku memang dia bayar. Sehingga sekarang mereka masih belum menyentuh isu utama dan kes tersebut. Oleh itu bantahan awal harus dibenarkan," katanya.

Dalam hujahnya, Gobind mendakwa pihak pendakwaan cuba menyembunyikan bukti yang memihak kepada anak guamnya.

Pada prosiding itu, Wan Shaharuddin dilihat bertepuk tangan dan mengkritik cara pihak pembelaan mengendalikan kes yang disifatkannya suka berdrama, sebelum tindakannya itu ditegur oleh Azura dan memberi peringatan bahawa beliau sedang berada dalam mahkamah.

Gobind yang tidak berpuas hati dengan tindakan Wan Shaharuddin kemudian meninggikan suara dan mempersoalkan amalan dan standard timbalan pendakwa raya sekarang ini.

Wan Shaharuddin bagaimanapun berkata, tujuan pihak pembelaan memohon laporan forensik adalah untuk memalukan dan mengugut pihak pendakwaan.

Gobind bangun dan membantah kenyataan itu kerana pihak pembelaan tidak pernah membuat ugutan kepada mana-mana pihak sepanjang kes itu berlangsung dan mengulangi pendirian bahawa Wan Shaharuddin sebagai pegawai mahkamah tidak seharusnya menyembunyikan bukti.

Keadaan kembali tenang selepas Azura meminta kedua-dua pihak menghentikan perbalahan.

Guan Eng berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. - Bernama