Detik manis buat Shah Firdaus

Iklan
Shah Firdaus (kiri) meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki Piala Negara-Negara UCI 2023 di Kaherah, Mesir. - Foto Facebook Muhammad Shah Firdaus

JAGUH berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyifatkan kejayaan merangkul pingat perak dalam acara keirin lelaki Piala Negara-Negara UCI 2023 di Kaherah, Mesir tengah malam Khamis sebagai detik yang begitu manis buat dirinya.

"Alhamdulillah. Allah izin menaiki podium untuk pingat perak dalam acara keirin. Detik ini boleh dikatakan begitu manis dan bermakna untuk saya secara peribadi,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Pelumba yang berasal dari Johor itu mencipta sensasi apabila memenangi pingat perak selepas menamatkan saingan di tempat kedua dengan perbezaan masa 0.057 saat (s) di belakang pelumba Jepun, Shinji Nakano.

Nakano memenangi emas dengan catatan 10.613s, manakala gangsa menjadi milik rakan senegaranya, Kaiya Ota yang merekodkan masa 10.686s dalam aksi final di Velodrom Antarabangsa Kaherah itu.

Iklan

Seorang lagi jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terlepas untuk menyertai kejohanan itu kerana mengalami kecederaan pangkal paha ketika menjalani latihan.

Shah Firdaus turut mengimbas episod kegagalannya terlepas banyak peluang untuk meraih podium pada kejohanan dunia yang disertainya sebelum ini.

Iklan

"Sebelum ini sudah terlalu banyak posisi podium yang terlepas daripada genggaman di final kejohanan-kejohanan dunia dengan pelbagai bentuk halangan.

"Kita merancang, perancangan Allah lebih baik. Kita berusaha dan meminta dengan ilmu yang terbatas, Allah memberi dengan pengetahuan-Nya yang maha luas,” ujarnya.

Pelumba berusia 25 tahun itu turut menghargai sokongan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaannya serta rakan dalam skuad berbasikal pada kejohanan yang mereka sertai.

"Terima kasih kepada yang sentiasa menyokong dan mendoakan. Semoga kejayaan ini memberi motivasi dan menyuntik semangat untuk saya dan pasukan melakar kejayaan yang lebih baik. Insya-ALLAH," katanya.

Siri ketiga Piala Negara-Negara UCI 2023 yang menyediakan mara kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan beralih ke Milton, Kanada yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 April ini.