SHAH ALAM - Hutan simpan Taman Warisan Negeri Selangor akan dinamakan semula sebagai Hutan Warisan Diraja Negeri Selangor (Royal Selangor Heritage Forest).
Penukaran nama tersebut yang akan dilancarkan secara rasmi Ogos depan telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda bertitah agar kawasan hutan simpan kekal di Selangor yang berkeluasan 108,000 hektar itu terus dipelihara.
Baginda mencadangkan supaya kerajaan negeri melanjutkan tempoh dasar pembalakan ‘monitoring’ yang kini ditetapkan selama 25 tahun.
"Langkah tersebut untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di dalam hutan simpan kekal sejak 2009.
"Ini termasuk penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi mengelak pencerobohan hutan daripada berlaku," menurut kenyataan dikongsikan Selangor Royal Office pada Jumaat.
Pada Khamis, baginda berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) yang baharu, Azhar Ahmad di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Hadir sama ialah mantan Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid.
Pada pertemuan tersebut, baginda disembah maklum mengenai perkembangan terkini usaha pembangunan dan penggazetan kawasan rizab hutan simpan berkenaan menerusi Pelan Induk 2023-2032.
Baginda percaya usaha JPNS untuk mengekalkan kehijauan di hutan simpan kekal itu akan dapat dirasai oleh rakyat, menerusi perancangan menyediakan laluan pendakian terkawal di beberapa lokasi berkenaan.
Pada masa sama, baginda turut menitahkan Tengku Amir Shah yang memiliki ijazah dalam Ekologi dan Biologi Alam Sekitar, untuk memantau rapat usaha-usaha mengekalkan persekitaran hijau di negeri Selangor dengan sasaran penanaman tidak kurang 11 juta pokok menjelang 2026.
Selain itu, baginda turut berpandangan bahawa kerjasama antara JPNS dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha-usaha konservasi serta kajian berterusan akan membolehkan kawasan hutan simpan kekal itu dimanfaatkan ke arah memelihara warisan geologi, budaya dan biologi sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh di Malaysia.