Polis rampas dadah bernilai RM900,000, tahan dua penganggur

Iklan
Kamarul Zaman (dua dari kiri) bersama pegawai yang bertugas menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas berikutan pembongkaran stor penyimpanan dadah, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) pada Jumaat. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU - Polis menahan dua penganggur dan merampas pelbagai jenis dadah, antaranya 21.27 kilogram syabu, 727 gram serbuk ecstasy dan 554 gram ketamin, semuanya bernilai kira-kira RM849,192 dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Johor Jaya, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua lelaki berumur 32 dan 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor antara pukul 5 petang dan 9 malam.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua penganggur itu menjadikan rumah yang berpagar serta berpengawal sebagai stor menyimpan dadah, dan polis turut menyita kenderaan Toyota Vellfire, Proton Saga, sebuah motosikal, jam tangan dan wang tunai kira-kira RM1,730 dalam serbuan itu, yang dianggarkan bernilai RM160,430.

Katanya, dadah berkenaan dijual antara RM150 dan RM350 tiap satu paket kecil.

Kamarul Zaman berkata, seorang daripada penganggur itu didapati positif dadah ketamin, dan kedua-dua mereka direman seminggu mulai Rabu lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama