ICSCB, CSI jalin kerjasama perkukuh keselamatan siber

Iklan
Fai Chew (tiga dari kanan) bersama wakil IPTA dan CSI menunjukkan MoU yang ditandatangani bagi mendidik orang ramai melindungi aset digital peribadi dan mencegah jenayah siber.

KUALA LUMPUR - Badan Pensijilan Keselamatan Siber Antarabangsa (ICSCB) dengan kerjasama Institut Keselamatan Siber (CSI) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mendidik orang ramai melindungi aset digital peribadi dan mencegah jenayah siber.

Presiden ICSCB, Keen Fai Chew berkata, kerjasama itu merupakan satu usaha bagi memperkukuhkan prasarana keselamatan siber, selain mencegah risiko kerugian kewangan dan menurunkan kadar jenayah siber.

Iklan
Iklan

"MoU ini memberi fokus kepada pembangunan kompetensi kesemua pemain industri dan orang ramai dalam memperkukuhkan keselamatan siber," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Fai Chew berkata, matlamat utama pihaknya adalah untuk menambah baik struktur tadbir urus industri keselamatan siber mengikut piawaian keselamatan data dan menyediakan penyelesaian keselamatan siber paling komprehensif menggunakan teknologi bagi meminimumkan risiko serangan siber.

Iklan

"Dalam masa sama, kami juga ingin melengkapkan pengguna dengan persekitaran siber selamat dan mengurangkan kadar kebocoran data," katanya.

Beliau berkata, penceroboh data (hackers) akan sentiasa mengemas kini modus operandi untuk melakukan jenayah.

Iklan

"Sebagai satu organisasi yang memfokuskan keselamatan rangkaian siber, kita harus berganding bahu dalam menangani masalah ini," katanya.

Menurutnya, ICSCB turut bekerjasama dengan beberapa institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan organisasi lain dalam meningkatkan kesedaran berkaitan isu keselamatan siber.

"Usaha kerjasama antara organisasi ini juga dapat membantu merendahkan risiko serangan siber dan melindungi maklumat sensitif daripada capaian yang tidak dibenarkan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Keselamatan Siber Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Nor Masri Sahri berkata, pihaknya berharap lebih banyak peluang terbuka menerusi jalinan kerjasama itu.

"Kita bukan sahaja memfokuskan penyelidikan dan pembangunan, kita boleh membuka peluang seperti inovasi teknologi dalam menangani isu keselamatan siber," katanya.

Masri berkata, jalinan kerjasama pihaknya dengan ICSCB adalah untuk membangunkan kursus-kursus profesional dan pensijilan dalam bidang keselamatan siber.

"Kursus tambahan dalam pelbagai bidang keselamatan siber itu akan ditawarkan kepada pelajar universiti, selain bakal majikan atau pekerja.

"Saya berharap para pelajar universiti ada nilai tambah, bakal graduan mendapat ijazah, mereka juga akan dapat sijil dalam bidang keselamatan siber, selain peluang pekerjaan mereka juga lebih cerah," katanya.