SHAH ALAM - Sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain seperti menziarahi kawasan tersebut dibimbangi akan merosakan akidah dan mengelirukan mereka terutamanya generasi muda.
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, tiada keperluan untuk umat Islam menziarahi rumah ibadat agama lain kecuali untuk berdakwah.
Katanya, haram bagi umat Islam masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam seperti gereja, kuil dan sebagainya.
"Kenapa kita ke rumah ibadat lain, sepatutnya semua umat Islam perlu imarahkan masjid setiap kali waktu solat. Boleh kalau mahu pergi tapi dengan tujuan untuk berdakwah, memperkenalkan dan bercerita mengenai Islam kepada agama lain.
"Itu sepatutnya berlaku, bukan kita pula yang ditarik. Apabila ada orang ajak ke sesuatu tempat, ia jelas menunjukan terdapat usaha untuk memperkenalkan atau mendedahkan perkara tersebut kepada individu lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Media melaporkan, program 'Jom Ziarah Gereja' yang menjadi kontroversi adalah satu inisiatif di bawah 'Projek Artikel 11' diterajui Impact Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).Tambah Abdul Rahman, tiada istilah memberikan pemahaman kepada belia bahawa semua agama mempunyai persamaan.
"Saya juga berpendapat sekiranya aktiviti itu diteruskan, ia akan menjauhkan umat Islam daripada agama Islam.
"Oleh itu, program sebegini bukan sahaja harus dihentikan malah perlu diambil tindakan undang-undang kerana ia adalah satu kesalahan yang boleh didakwa,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan, sebagai negara Islam, hanya agama Islam dibenarkan untuk berdakwah namun menjadi satu kesalahan sekiranya ia dilakukan oleh penganut agama lain.