PENGENDALI Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak mengakui kecewa dengan kesilapan mudah The City Boys apabila sekadar berkongsi satu mata dengan Kelantan FC setelah pemain memberi peluang tuan rumah mengikat kedudukan seri 2-2 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Jumaat.
Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, kesilapan seumpamanya pernah berlaku dan tandukan Kenny Pallaraj ke gawang sendiri pada minit ke-41 perlawanan turut memberi kelebihan kepada lawan.
"Kita bekerja keras untuk mendapat dua gol, kemudian dengan mudah kita beri lawan satu gol. Mereka pula berjaya jaringkan satu gol lagi, jadi seri.
"Kesilapan yang tak patut berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Hodak pada masa sama menyedari kesilapan gol sendiri boleh berlaku dalam mana-mana perlawanan bola sepak walaupun bermain dalam keadaan persekitaran yang baik seperti di Kelantan.
"Pada 20 minit terakhir, Kelantan bermain dengan 10 pemain kerana Ikhwan Yazek keluar padang akibat cedera.
"Kami membuat asakan dan ada beberapa percubaan namun tidak berjaya menghasilkan gol kemenangan,” katanya.
Begitupun Hodak yakin anak buahnya akan kembali fokus dan memperbaiki kelemahan supaya tidak mengulangi kesalahan sama selepas ini.
"KL City akan kembali fokus bagi memulihkan ketahanan pemain seperti Romel Morales yang beraksi pada perlawanan itu tetapi tidak 100 peratus cergas.
"Perlawanan seterusnya diharapkan semua tonggak utama yang ada akan dapat beraksi dengan lebih baik,” ujarnya.
Dua gol KL City hasil rembatan volley cantik Tchetche Kipre dan jaringan Declan Lambert