PENGENDALI The Red Warriors (TRW), Choi Moon-sik lega mempunyai pelan B sekali gus berjaya mengikat Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan seri 2-2 pada Jumaat.
Menurut ketua jurulatih dari Korea Selatan itu, membuat persediaan merancang dua strategi untuk Kelantan FC beraksi di gelanggang sendiri pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
"Separuh masa pertama, pelan asal digunakan sebelum menukar kepada pelan B lebih awal dari perancangan, membolehkan TRW mengawal permainan.
"Keputusan itu tepat kerana jika terlewat, TRW mungkin tidak dapat menghasilkan satu mata di laman sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini selepas tamat perlawanan itu.
Moon-sik berkata, peluang beraksi di Kota Bharu sepatutnya dimanfaatkan oleh pemain-pemainnya bagi meraih tiga mata kemenangan namun perkara itu tidak kesampaian.
"Kita mempunyai tiga tonggak, Leonardo Gabriel, Ismaheel Akinade dan Miguel Cifuentes.
"Mereka bermain dengan baik dan aksi bertambah agresif apabila Mario Arques Blasco dimasukkan pada separuh masa kedua,” katanya.
Sementara itu, berhubung kecederaan Mohamad Ikhwan Yazek yang menyebabkan TRW beraksi dengan 10 pemain, katanya perlu meneliti tahap keseriusan kecederaan yang dialami pemain berkenaan.
"Pemain ini sangat bagus dan jika tidak cedera, dia mungkin boleh mengubah permainan yang lebih baik.
"Apa-apa pun TRW sudah melakukan sebaik mungkin dan akan meningkatkan lagi mutu permainan serta ketahanan pemain pada masa depan,” katanya.
Setakat lima perlawanan, TRW berada di tangga ke-10 carta dengan keputusan satu seri, satu kemenangan dan tiga kekalahan.
Aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada Jumaat.