PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan pasukan yang lebih baik selepas tewas 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Jumaat.
Menurutnya, JDT mempunyai kelebihan daripada pelbagai sudut selain menyifatkan kekalahan tersebut sebagai pengajaran berguna kepada para pemainnya.
"Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik. Sudah tentu kalau kita tengok secara keseluruhan JDT ada kelebihan.
"Separuh masa pertama kita berjaya mengimbangi perlawanan dan kita ada peluang jaringan. Namun, dalam bola sepak kami kena fokus daripada minit pertama sehingga minit ke-90.
"Bukan bermain separuh masa pertama dengan baik tetapi separuh masa kedua kita tidak bagus. Bagi saya, ia satu pengajaran terbaik untuk pasukan kami," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Fernando Forestieri meledak dua gol pada minit ke-77 dan ke-81 manakala, Juan Muniz (m-55) dan Diogo Luis Santo (m-66) turut mencipta nama selaku penjaring.
Kekalahan kepada JDT itu juga menyaksikan rekod tanpa kalah Selangor FC sejak final Piala Malaysia musim lalu lebur.
Dalam pada itu, Cheng Hoe juga menjelaskan tindakannya menukar beberapa pemain penting pada separuh masa kedua sehingga menyebabkan Selangor dibolosi gol.
"Ramai yang tertanya kenapa saya tukar Yazan Al-Arab. Kalau lihat sudah ada tiga pertahanan dapat kad kuning. Itu menjadi sebab utama saya terpaksa tukarkan dia dengan Khuzaimi Piee.
"Faisal Halim pula bermain dengan baik pada separuh masa pertama. Namun, pada separuh masa kedua, dia ada sedikit kekejangan otot dan minta dikeluarkan.
"Kami tak nak ambil risiko kerana musim liga yang masih panjang. Sebab itu, kami keluarkan dia untuk untuk elak dia dapat kecederaan yang teruk," katanya.