PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari memuji karakter dan kualiti yang dimiliki para pemainnya selepas berjaya menumbangkan Selangor FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Jumaat.
Menurut Solari, para pemainnya menunjukkan kemampuan mereka untuk menghadapi tentangan sengit Selangor terutama pada separuh masa pertama yang menyaksikan pasukan Harimau Selatan gagal menjaringkan sebarang gol.
"Hari ini kemenangan penting buat kami dan tahu kami menentang pencabar utama dalam Liga Super. Kami menghormati mereka kerana kami tahu mereka ada pemain dan jurulatih yang bagus.
"Bermain di tempat lawan, mereka memberikan kesukaran kepada kami. Namun, saya gembira dengan pemain dan saya suka karakter dan kualiti yang ada pada pemain saya," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Fernando Forestieri meledak dua gol pada minit ke-77 dan ke-81 manakala, Juan Muniz (m-55) dan Diogo Luis Santo (m-66) turut mencipta nama selaku penjaring.
Kemenangan itu menyaksikan JDT terus gah di puncak liga dengan menang semua lima kemenangan sejak saingan liga bermula.
Dalam masa sama, Solari mengakui para pemainnya bermain lebih baik pada separuh masa kedua yang menyaksikan mereka mampu memecah kebuntuan gol.
"Ia bukan sebab saya menukar sesuatu (taktikal) pada separuh masa kedua. Sebaliknya pemain ada lebih banyak sumbangan untuk mencari gol. Kami mencipta banyak peluang pada separuh masa pertama tetapi gagal jaringkan gol.
"Separuh masa kedua, kami menguasai bola dan kami bertahan dengan baik pada separuh masa kedua. Selepas kami beraksi lebih baik, kemudiannya kami berjaya jaringkan gol.
"Separuh masa kedua kami lebih efektif. Untuk mendapat gol pertama pertama sangat penting dan selepas tiga gol kami lebih yakin untuk menyudahkan perlawanan," katanya.