LENGGONG - Keputusan pemilihan sayap-sayap UMNO di semua bahagian di negeri ini yang berlangsung minggu lalu disifatkan satu perkembangan baik.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, secara keseluruhannya perjalanan pemilihan bagi wanita, pemuda dan puteri berjalan lancar di 24 bahagian di negeri ini.
Menurutnya, walaupun terdapat bahagian UMNO yang mengambil masa panjang untuk membuat pengiraan disebabkan bilangan perwakilan ramai.
"Dari segi kelancaran pentadbiran yang dikendalikan jawatankuasa (pemilihan), alhamdulillah tak ada apa-apa aduan, ia berlaku dengan baik.
"Saya lihat perkembangan yang baik (keputusan pemilihan sayap bahagian). Ada setengah itu mempertahankan jawatan ada, sesetengah berlaku perubahan tapi ia menggambarkan demokrasi berjalan dengan baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong di sini pada Sabtu.
Sementara itu, pada pemilihan UMNO kali ini, Saarani mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Lenggong selepas menang tanpa bertanding.
Selain itu, jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lenggong dan Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong turut tidak dipertandingkan dengan Datuk Mohd Tarmizi Idris dan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengekalkan jawatan berkenaan.
Hanya jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian berkenaan menyaksikan pertandingan.