PELABUHAN KLANG – Tiga bot tempatan menggunakan enam pekerja warga asing tanpa permit ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor dalam kejadian berasingan, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun ditahan dalam Ops Ehsan di sekitar perairan Jeram.
"Pada tangkapan pertama, kita berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia pada jarak lebih kurang 12.9 batu nautika dari Jeram.
"Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain menggunakan pekerja warga asing tanpa permit yang sah di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, seorang tekong bersama seorang pekerja turut ditahan ketika leka menangkap ikan pada jarak 13 batu nautika, jam 1.20 pagi.
"Hasil pemeriksaan tekong tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah sementara pekerjanya mempunyai dokumen pengenalan diri namun melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana berkerja tanpa kebenaran oleh Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.
Katanya, bagi kes ketiga, dua lelaki warga Indonesia ditahan kerana melakukan kesalahan sama iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan bekerja tanpa kebenaran.
"Kesemua mereka bersama tiga bot tempatan ditahan bersama hasil tangkapan pelbagai jenis ikan seberat kira-kira 15kg, tiga pukat tunda gulung, enam papan tunda, tiga radio dan tiga unit GPS dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.