Kemeriahan demokrasi dalam UMNO - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid menunjukkan kertas undi sebelum memilih pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk pada Sabtu.

BAGAN DATUK - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemilihan UMNO yang berlangsung serentak di 191 bahagian di seluruh negara sebagai 'kemeriahan demokrasi'.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun parti itu dikatakan mengalami kemalapan, namun ramai ahli menawarkan diri bertanding.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih 160,000 perwakilan bersidang di seluruh negara dan terdapat 95 calon Majlis Tertinggi, lapan calon Naib Presiden, 10 calon Timbalan Pengerusi Tetap dan dua calon Pengerusi Tetap.

"UMNO sangat demokratik yang mana kaedah untuk menjadi calon hanya perlu mendaftarkan diri setelah cukup tempoh melayakkan mereka sebagai calon," katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, keputusan pemilihan UMNO melibatkan semua bahagian parti itu menjadi satu langkah penting untuk hala tuju UMNO Bangkit 2.0.

Tambahnya, kepimpinan yang dipilih di peringkat pusat dan bahagian diharapkan dapat berjalan sederap serta bekerja dalam pasukan untuk menghadapi pilihan raya di enam negeri dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Iklan

"Harapan saya agar kita pilih calon yang terbaik dalam kalangan baik-baik agar kita tidak tersalah pilih. Biarpun saya meraikan perbezaan pandangan dan pendapat tetapi kita jangan harus berbeza pendirian apabila parti buat keputusan, terutama keputusan-keputusan besar.

"Ahli Majlis Tertinggi dipilih kali ini dapat mendukung cita-cita parti bagi kita memperkukuhkan bukan sahaja organisasi tetapi dari segi komitmen menggamit semula sokongan rakyat khususnya pengundi baharu," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan anaknya, Datuk Nurulhidayah dalam pemilihan untuk jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk, Ahmad Zahid berkata, keputusan itu memperlihatkan tiada campur tangan berlaku dalam pemilihan itu.

"Walaupun bapa beliau adalah ketua bahagian dan presiden UMNO, memperlihatkan tidak ada campur tangan untuk pemilihan di peringkat bahagian dan di semua peringkat.

"Saya mengambil langkah profesional agar kepimpinan tertinggi tidak perlu campur di dalam pemilihan ini. Sebagaimana yang saya maklumkan, pilihlah yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik termasuk anak sendiri," katanya.