'Saya bukan hasad, hanya mahu selamatkan dana' - PM

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Kongres Nasional Khas 2023 di Stadium Malawati hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kejayaan Kerajaan Perpaduan menguruskan semula projek tebatan banjir yang sebelum ini diperuntukkan sejumlah RM15 bilion, membolehkan beberapa lagi projek serupa dilaksanakan dengan menggunakan dana yang sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mengikut jumlah projek terdahulu, dengan saiz dana sama ia hanya mampu melaksanakan sebanyak lapan atau sembilan projek tebatan banjir sahaja.

Iklan
Iklan

"Saya bukan nak hasad (dengki) nak korek, nak hentam orang, saya nak selamatkan dana supaya boleh dipulangkan balik kepada rakyat, itu kerja saya (sebagai perdana menteri). Lihat (projek) tebatan banjir sebagai contoh, saya sebut di Parlimen peruntukan itu RM15 bilion dan kalau ikut projek dahulu ia setakat lapan, sembilan projek.

"Bila kita buat semula secara tender terpilih dan buat kerja dengan lebih teratur, dia boleh tambah dua, tiga projek lagi. Dari satu projek tebatan banjir di Johor, saya tambah jadi dua dari dana yang sama tetapi diurus dengan cekap dan telus, tiada rompakan berlaku,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di sini pada Sabtu.

Iklan

Kongres yang berlangsung di Stadium Malawati dan bertemakan 'Malaysia Madani, Pelaksanaan Sebuah Idealisme' itu, turut dihadiri Timbalan Presiden, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan 41 wakil pejabat kedutaan asing.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus membela nasib rakyat, selain tidak akan membenarkan ‘tauke’ dan syarikat kaya dari lari membayar cukai kepada negara.

Iklan

Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat sebak sebaik kongres ditayangkan petikan filem 'Anwar Ibrahim: Untold Story’, sebelum beliau menyampaikan ucapan dasar.

Filem yang dijangka akan ditayangkan di pawagam pada Mei, mengisahkan jatuh bangun perjalanan politik Anwar sejak 1991 sehinggalah terbentuknya gerakan Reformasi, selepas beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998. - Bernama