'Dipanggil untuk bantu siasatan itu perkara biasa' - Musa

Iklan
Musa

BUKIT MERTAJAM - Pemimpin yang dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan dinasihatkan agar tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana ia hanya satu prosedur biasa.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, beberapa barisan pemimpin UMNO juga pernah ditahan pihak berkuasa untuk siasatan dan parti itu tidak pernah menuding jari kepada mana-mana pihak.

Iklan
Iklan

"Dulu mereka kata UMNO kluster mahkamah tetapi tengok hari ini, kawan-kawan kita pun masuk kluster sama juga. UMNO pun pernah kena panggil siasat, UMNO pun kena beku akaun. Semua kerja tergendala apabila akaun dibekukan. Itu biasalah, siasatan tetap kena jalankan. Kita kena ikut undang-undang.

"Ketika itu, kami tak salahkan sesiapa, serahkan kepada undang-undang. Kami terima, ikut arahan dan beri kerjasama dengan pihak berkuasa dan akhirnya siasatan mendapati akaun UMNO tiada masalah, tiada perkara tak elok pada akaun kita.

Iklan

"Hari ini, mereka kena lalui benda sama. Dulu kata itu (siasatan) adalah kerja pihak berkuasa bukan kerja mereka. Jadi hari ini, biar pihak berkuasa siasat. Sudah kena pada diri sendiri, jangan dok 'melompat'," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh pada Sabtu.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Iklan

Muhyiddin turut didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen pada Isnin berhubung kes menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta, Januari tahun lalu.

Susulan daripada itu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa beliau tidak bersalah dan akan menjawab semua pertuduhan di mahkamah selain mendakwa pertuduhan terhadapnya bertujuan untuk memalukannya dengan mengheret beliau ke mahkamah.

Dalam pada itu, Musa yang juga Ketua UMNO Bukit Mertajam berkata, UMNO masih relevan dalam kalangan masyarakat berikutan ramai yang menawarkan diri untuk bertanding dan berkhidmat kepada parti itu pada pemilihan kali ini.

"Ada yang tuduh UMNO sudah tak relevan. Itu semua tak benar. Jika benar UMNO tak relevan, lemah dan tak laku, tiada siapa yang akan menawarkan diri untuk bertanding hari ini (Sabtu).

"Tetapi hari ini ramai hendak bertanding, maknanya UMNO masih kuat. Orang masih sayang UMNO," katanya.