LENGGONG - Kementerian Dalam Negeri mengingatkan semua pihak untuk menghentikan sebarang tindakan menyentuh perkara sensitif terutama berkaitan kaum dan agama di negara ini bagi menjaga keharmonian rakyat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebebasan bersuara yang diberikan bukan alasan untuk mana-mana pihak melakukan apa sahaja termasuk melanggar undang-undang.
Menurutnya, keharmonian kaum amat penting bagi menjamin keamanan seterusnya memastikan pembangunan negara demi kepentingan rakyat tidak terganggu.
"Memang setiap rakyat diberikan hak serta kebebasan sama ada mengeluarkan pandangan, pendapat atau melakukan apa yang diinginkan. Namun demikian, negara kita memiliki peraturan dan undang undang.
"Kita mesti menghormati peraturan dan undang-undang yang ada. Apa-apa perkara yang hendak diutarakan mestilah mengikut saluran dan peraturan yang ada demi kebaikan semua," katanya kepada pemberita ketika ditemui hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada mesyuarat itu, Menteri Besar Perak yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Shamsul Anuar berkata, pihak berkuasa seperti polis boleh mengambil tindakan yang sesuai dengan undang-undang yang ada kepada pelaku yang cuba mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, selain itu orang ramai yang mempunyai maklumat tentang sebarang aktiviti atau tindakan yang mencetuskan ketidaktenteraman awam boleh melaporkan terus kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat usaha dalam kalangan orang yang kehilangan kuasa meniupkan sentimen kaum dan agama.
Tanpa menyebut nama individu tersebut, Anwar berkata, pihak berkuasa telah diarahkan bertindak sekiranya pihak berkenaan melampaui batas.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan turut mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh membangkitkan kegusaran awam.