KOTA BHARU - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) masih menjadi institusi yang cukup sinonim dengan pilihan pelajar kerana pelaksanaan pendidikan terbaiknya.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MRSM menerima lebih 90,000 permohonan ke tingkatan satu dan tingkatan lima untuk sesi 2023/2024.
Menurut beliau, kesemua jumlah itu melibatkan 55 MRSM di seluruh negara.
"Bagaimanapun, pengurusan MRSM hanya dapat menerima kapasiti sebanyak 7,169 pelajar sahaja di institusi itu.
"Selepas ini, kita akan tengok rayuan pelajar yang berminat dan bergantung kepada pelajar yang mungkin menolak tawaran kerana memilih tempat lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Sesi Libat Urus Pengerusi Mara Bersama Warga Kerja MRSM Pengkalan Chepa dan Ketua-Ketua Pusat Pentadbiran Mara di Kelantan.
Asyraf Wajdi berkata, hasrat Mara melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam pelbagai bidang dengan memastikan pencapaian kualiti pendidikan diperkasakan.
"Kita sedang berusaha memperkasakan pendidikan di institusi yang sebenarnya sudah baik selain menjadikan MRSM secara sekolah Ulul Albab secara bertahap," katanya.
Sementara itu katanya, susulan lawatan ke MRSM Pengkalan Chepa, sebanyak RM300,000 diluluskan untuk membaik pulih bangunan dan kemudahan sekolah itu.
"Sebelum itu, saya menerima banyak aduan secara personal mengenai sekolah ini dan ternyata benar apabila melihat sendiri keadaannya," katanya.
Menurut beliau, selepas berhubung dengan Bahagian Pengurusan Strategik, dimaklumkan naik taraf berkenaan akan siap dalam tempoh dua bulan.
"Bagaimanapun, mereka perlu melalui prosedur yang ditetapkan termasuk proses tender," katanya.