KUALA LUMPUR - Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail masih lagi mendahului dengan 13 undi dalam saingan pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden.
Menurut keputusan tidak rasmi, beliau diikuti rapat oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga penyandang jawatan itu dengan 11 undi.
Sementara itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berada di tangga ketiga dengan menerima lapan undi.
Ia diikuti Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan enam undi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (lima undi), Ketua UMNO bahagian Padang Terap, Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga undi) dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad (dua undi).
Calon lain, ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaludin masih belum memperoleh undi untuk melayakkan diri bagi menjawat jawatan tersebut.
Persaingan merebut jawatan dalam Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 bermula selepas tempoh pendaftaran calon ditutup secara rasmi pada jam 26 Februari lalu.
Selepas selesai pemilihan sayap pada Sabtu lalu, UMNO bakal menyaksikan kemuncak pemilihan pemimpin yang bakal merebut jawatan Naib Presiden dan ahli MKT.
Pemilihan UMNO akan berakhir pada Sabtu dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO.