Buku Pesona Personaliti beri peluang nilai kekuatan, kelemahan diri

Iklan
Wan Azizah melancarkan buku Pesona Personaliti sambil diperhatikan oleh Firdaus dan Muna Izzah yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Sabtu.

SHAH ALAM - Buku bertajuk 'Pesona Personaliti-Seni Mengenal Diri dan Mengubah Peribadi' memberi peluang pembaca menilai sendiri kekuatan serta kelemahan diri seterusnya membantu membuat perubahan sikap dan peribadi.

Penulis buku tersebut, Muna 'Izzah Fadzil berkata, karya pertama beliau bersama Karya Bestari, Group Buku Karangkraf Sdn Bhd itu berkonsepkan 'baca' dan 'interaksi' iaitu pembaca bukan hanya sekadar membaca namun disediakan beberapa soalan perlu dijawab.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penulisan buku juga berdasarkan pengalaman dan ilmu yang dikutip dari kecil hingga kini selain sepanjang berkhidmat sebagai peguam serta perunding imej.

"Fasa kesedihan akibat kehilangan bonda dan kekanda berturut-turut dalam tempoh dua tahun yang lepas, adalah satu sebab saya menulis buku ini untuk kembali bangkit.

Iklan

"Jadi saya tidak menunggu lama untuk menulis dan menukilkan segala ilmu dan pengalaman yang telah dilalui bersama ibu bapa, keluarga, sahabat dan alam pekerjaan.

"Saya ucapkan penghargaan kepada ibu dan ayah yang mendidik dan mengajar erti kehidupan serta kasih sayang. Selain itu doa dan sokongan suami serta anak-anak, kasih sayang adik beradik, keluarga, sahabat, guru dan mentor yang percaya bahawa saya mampu lakukannya," katanya.

Iklan
Wan Azizah melihat buku Pesona Personaliti yang ditulis oleh Muna Izzah Fadzil di Kompleks Karangkraf pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Bertajuk 'Pesona Personaliti' di Dewan Karangkraf di sini pada Sabtu.

Pelancaran itu disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan turut dihadiri Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin.

Dalam pada itu, Muna 'Izzah menzahirkan penghargaan kepada Wan Azizah yang hadir merasmikan pelancaran buku berkenaan selain berterima kasih kepada pasukan Grup Buku Karangkraf termasuk editor, pereka bentuk (designer) dan sebagainya terlibat dalam menerbitkan buku tersebut.

Hasil karya pertama Muna 'Izzah itu memfokuskan kepada pembinaan peribadi dan sikap selain merupakan sebuah buku yang relevan dengan setiap keadaan dan masa dalam masyarakat hari ini.

Selain itu, ia adalah buku berkonsep 'self help' yang dapat membantu pembaca dalam mengenal kelebihan diri serta mengubah sikap dengan teknik-teknik diberikan secara praktikal.

Pelancaran buku Pesona Personaliti yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Sabtu.

Kandungan buku berkenaan berdasarkan garapan pengalaman sendiri dan orang lain, ilmu, pembacaan, pembelajaran, pengetahuan serta penelitian terhadap keadaan sekeliling.

Antara kata-kata terbaik dalam buku tersebut adalah 'Peduli Itu Cinta, Tidak Peduli Itu Malapetaka'. Ia berkaitan sikap yang perlu ada dalam diri iaitu menjadi orang yang bersikap peduli dan mengambil berat terhadap orang lain.

Buku berkenaan boleh didapati di www.karangkrafmall.com atau di semua kedai buku berhampiran dengan harga sebanyak RM30.