BALIK PULAU - Polis daerah Barat Daya menahan tiga wanita kerana disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket penipuan bagi penghantaran barang, pelaburan mata wang asing tidak wujud dan menyamar sebagai rakan.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya wanita berusia 39 hingga 49 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang, dua hari lepas.
"Berdasarkan siasatan awal, mereka disyaki dijadikan keldai akaun kepada sindiket penipuan yang berbeza membabitkan kerugian mangsa antara RM2,000 hingga RM18,000.
"Siasatan juga mendapati semua yang ditahan itu melibatkan kes yang dilaporkan sejak tahun 2019 hingga 2022," menurut kenyataan itu.
Kesemua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes isiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berasingan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga Myanmar yang tiada sebarang dokumen perjalanan diri dan bekerja di sebuah sangkar ikan di kedudukan 1.5 batu nautika selatan Pulau Aman, dekat sini.
Katanya, pasukan operasi yang menjalankan rondaan rutin telah menjalankan pemeriksaan pada jam 1.45 petang semalam dan pemeriksaan terhadap dua lelaki berusia 20 dan 30 tahun itu mendapati mereka tiada sebarang dokumen perjalanan diri.
"Selain itu, mereka juga tiada sebarang permit kerja dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha atau individu yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia. - Bernama