Masjid belanja infak sarapan RM21,200 sehari

Iklan
Mohd Firdaus (dua dari kanan) dan Isa (dua dari kiri) meninjau Jualan Terus Dari Ladang FAMA sempena Istiqbal Ramadan Mega di Masjid Al-Busyra pada Sabtu.

SUNGAI PETANI - Masjid Al-Busyra Merbok pernah membelanjakan RM21,200 dalam masa sehari bagi menjayakan Program Sedekah Sarapan Jumaat yang dilancarkan sejak Februari lalu.

Pengerusinya, Mohd Firdaus Mat Akhir berkata, perbelanjaan tertinggi itu merangkumi nilai makanan dan minuman untuk lebih kurang 400 orang pengunjung yang menunaikan solat Subuh secara berjemaah pada hari tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, apa yang ditekankan bukanlah jumlah nilai yang dibelanjakan, namun jumlah infak yang diterima dan betapa ramainya jemaah yang hadir bagi mengimarahkan masjid pada setiap pagi Jumaat.

"Masjid mengamalkan konsep terbuka seperti Rehat dan Rawat (R&R), duit agihan yang kita terima untuk Projek Sedekah Sarapan Jumaat sangat dasyat.

Iklan

"Kita tak simpan duit, kita belanjakan sarapan untuk semua yang hadir, kita pernah menerima kira-kira RM16,000 sumbangan untuk program ini dalam tempoh hanya beberapa jam sahaja kutipan dibuka secara dalam talian," katanya.

Mohd Firdaus ditemui semasa pelancaran Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) pra-Ramadan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena Istiqbal Ramadan Mega pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah.

Menurut Mohd Firdaus, jumlah infak yang diterima untuk program sarapan itu semakin meningkat sejak dilancarkan sebulan lalu.

Dalam masa sama, masjid turut menyerahkan barangan keperluan harian kepada anak kariah terpilih selain 500 papan telur ayam dan 100 ekor ayam diagihkan secara percuma kepada pengunjung JTDL FAMA hasil lebihan tabung Program Sedekah Sarapan Jumaat.

Turut diadakan sempena Istiqbal Ramadan Mega termasuk gerai jualan makanan, pakaian, produk industri desa, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan, forum ihya Ramadan yang melibatkan kehadiran tokoh agama dan selebriti terkenal.

Sempena penganjuran itu juga, pengunjung berpeluang membeli barangan segar pada harga istimewa melibatkan komoditi terpilih seperti ikan, ayam proses, telur ayam, kombo sayur-sayuran dan buah-buahan yang menawarkan penjimatan harga antara 5 hingga 10 peratus.

Mengikut rekod, Masjid Al-Busyra yang dinaik taraf pada 2018 memiliki tandas dan medan selera ala R&R, telaga wakaf, Al-Busyra Mart, Al-Busyra Bistro, perkhidmatan percetakan, tempat cuci kereta dan ruang tempat letak kereta baharu, berkonsepkan masjid mesra musafir pertama di Kedah.