PENAMPILAN sulung di kejuaraan badminton Seluruh England 2023, disifatkan satu pengalaman yang cukup berharga biarpun terkandas di suku akhir.
Malah jelas pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, pengalaman itu secara tidak langsung juga memperkukuhkan kehadirannya di kejuaraan berstatus Super 1000 itu.
"Sejujurnya banyak perkara yang telah saya belajar di sepanjang kejohanan ini.
"Jadi, saya amat harap pengalaman di Seluruh England 2023 dapat digunakan bagi kejohanan pada masa depan," katanya yang kini fokus saingan Terbuka Switzerland yang menyingkap tirai minggu depan.
Pemain berusia 23 tahun itu memulakan kembara kejuaraan badminton tertua dunia tersebut dengan mengatasi bintang Indonesia, Shesar Rhustavito 21-9, 21-12 pada pusingan 32 di Utilita Arena Birmingham pada 14 Mac lalu.
Di pusingan 16 pula, pemain yang mendapat asuhan Datuk Tey Seu Bock dan Hendrawan itu mencipta sensasi menyingkirkan juara bertahan Viktor Axelsen.
Pada perlawanan yang berlarutan tiga set itu menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang berkedudukan nombor 28 dunia berkenaan menewaskan pemain nombor satu dunia tersebut, 21-15, 9-21, 23-21.
Namun hasrat anak muda dari Johor itu untuk pergi lebih jauh di Seluruh England kali ini terhenti di suku akhir apabila tewas straight set kepada pemain China, Li Shi Feng 11-21, 11-21.
"Saya tidak berjaya mengeluarkan permainan sebenar dan tidak selesa bermain menentang Shi Feng.
"Sebenarnya saya perlu bekerja lebih keras lagi pada masa depan," kata Tze Yong ketika mengulas kekalahan kali keempat berturut-turut kepada Shi Feng.