Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru ditangguh, gantung

Iklan
Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru kecoh apabila proses itu ditangguh dan digantung ekoran berlaku pertambahan jumlah kertas undi selepas kiraan akhir dibuat pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang berlangsung di sebuah hotel di bandar raya ini pada Sabtu ditangguh dan digantung.

Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi melibatkan perwakilan yang hadir.

Iklan
Iklan

"Keputusan ini muktamad dan kami akan menunggu arahan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Pusat.

"Keputusan ini dibuat kerana jumlah perwakilan yang berdaftar pagi tadi untuk mengundi adalah seramai 523 orang, namun setelah kiraan dibuat jumlahnya mencecah 590 kertas undi.

Iklan

"Sehubungan itu, saya umumkan pemilihan melibatkan Bahagian Johor Bahru kali ini ditangguh dan digantung. Proses seterusnya adalah untuk dimaklumkan kepada JPU pusat dan kita tunggu siasatan JPU pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan penangguhan dan penggantungan itu selepas kiraan selesai dibuat pada pukul 10.15 malam Sabtu.

Iklan

Keputusan itu menyaksikan pemilihan melibatkan kesemua jawatan yang dipertandingkan terjejas khususnya jawatan Ketua UMNO Bahagian, Timbalan Ketua UMNO Bahagian serta Naib Ketua UMNO Bahagian.

Sementara itu, Pengerusi JPU Johor Bahru, Sonawan Mad Som pula bersumpah bahawa pihaknya tidak terlibat dengan sebarang tindakan salah laku melibatkan pemilihan bahagian berkenaan.

"Apabila dibuat perkiraan memang ada banyak beza, kalau setakat lima atau enam undi saya tidak terperanjat, tetapi ini jumlahnya sehingga 30, 40 keping jadi saya sendiri terperanjat kerana kami memang menjaga perjalanan proses.

"Saya berani sebut memang tiada seorang daripada petugas kami yang membuat kerja bukan-bukan ini," ujarnya sambil turut melafazkan sumpah laknat.

Difahamkan, insiden itu pertama kali berlaku dalam sejarah UMNO Bahagian Johor Bahru.