KUALA LUMPUR - Mana-mana bahagian yang berdepan masalah sewaktu proses pemilihan perlu mengadakan semula pengundian, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berhubung perkara berkenaan.
"Bahagian yang ada masalah macam itu, saya berbincang dengan Pengerusi JPU, sama ada kita batalkan dengan mengadakan pemilihan semula, memang mana-mana parti politik pun ada berlaku begitu (kekecohan).
"Bukan ertinya kita menyokong (perlakuan) itu, tetapi saya sendiri yakin (dengan) JPU, tiap-tiap pemilihan bahagian ada wakil JPU di sana.
"Mereka memantau dan laporan sebenar dihantar ke pihak JPU pusat untuk kita lakukan penelitian dan siasatan selepas itu.
"Jika kes-kes berkenaan memerlukan rujukan kepada lembaga disiplin, maka tindakan disiplin akan dilakukan. Jika tidak, maka tindakannya ialah pembatalan dan diadakan pemilihan di tempat itu," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas melawat petugas media di Auditorium Menara Dato' Onn di sini pada Sabtu.
Tambah Ahmad Zahid, pihaknya menerima tidak lebih lima peratus kes berat dan ringan melibatkan pemilihan parti setakat ini.
"Jika kes-kes sebegitu memerlukan rujukan daripada Lembaga Disiplin (UMNO), maka Lembaga Disiplin akan mengambil tindakan dan jika tidak, maka tindakan pembatalan dan diadakan pemilihan semula di tempat itu.
"Setakat ini, tidak lebih lima peratus aduan yang kita terima. Kita berjumpa dengan pengadu dan pihak yang diadu, banyak sudah diselesaikan, aduan ditarik dan mereka menerima keputusan yang dibuat perwakilan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid mengakui beliau berpuas hati dengan perjalanan Pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026 itu.
"Saya puas hati dengan perjalanan pemilihan parti tetapi perlu penelitian dan kita mesti berlaku adil kepada setiap calon dan perwakilan yang hadir. Jadi itu semua akan ditangani oleh JPU," katanya.