PEMAIN sensasi, Erling Haaland tiada rasa simpati apabila meledak hatrik kali keenam ketika membantu Manchester City membenam skuad bimbingan Vincent Kompany, Burnley 6-0 untuk mara ke separuh akhir Piala FA.
Ia menjadi detik malang buat Kompany yang sebelum itu diberi sambutan wira selepas 11 tahun menabur bakti di Etihad.
Bagaimanapun lain cerita di padang apabila tiada belas ihsan The Citizens terhadap bekas kaptennya itu yang merangkul empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kejayaan meledak hatrik itu menokok jaringan Haaland kepada 42 gol.
Turut mencatat nama selaku penjaring ialah Julian Alvarez yang menyumbat dua gol dan Cole Palmer menjaringkan satu lagi gol.
Haaland meledak lima gol ketika membelasah RB Leipzig 7-0 pada Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini.
"Saya sangat gembira.
"Ia menjadi beberapa aksi yang bagus. (Untuk menang) 7-0 dan 6-0 sebelum rehat aksi antarabangsa sangat menakjubkan," ujar Haaland.
Di sebalik kekalahan itu, Burnley dalam laluan terbaik untuk kembali ke EPL pada musim pertama Kompany membimbing pasukan.
"Ia sentiasa menjadi tempat saya berasa bangga apabila pulang (ke Etihad), tetapi saya juga bangga datang ke sini bersama Burnley," ujar Kompany.