KPKT sedia laksana PPR kepada kerajaan negeri tawar tanah percuma

Iklan
Kor Ming (kanan) dan Ahmad (kiri) merasmikan Pasar Tok Kenali, Binjal di Kota Bharu pada Ahad.

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan negeri yang menawarkan tanah percuma atau kutipan 'nominal premium' di lokasi strategik untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pengalaman lalu menyaksikan KPKT terpaksa membayar cukai tanah sekitar 30 hingga 35 peratus bagi menjayakan projek tersebut.

Iklan
Iklan

"Situasi itu menyebabkan berlakunya peningkatan kos kerana bayaran premium tanah. Perkara tersebut menyebabkan kualiti akan menjadi kurang.

"Jadi KPKT mengalu-alukan mana-mana kerajaan negeri yang sedia bekerjasama dalam perkara ini," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Iklan

Sebelum itu beliau merasmikan Pasar Tok Kenali, Binjal di sini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan pemimpin setempat.

Iklan

Menurut beliau, KPKT akan memberi keutamaan kepada kerajaan negeri yang sedia menjalinkan kerjasama tersebut.

Ujarnya, kerajaan pada tahun ini telah memperuntukkan RM387 juta untuk projek PPR.

Kor Ming berkata, pada masa sama sebanyak RM358 juta untuk Projek Rumah Mesra Rakyat telah diperuntukkan.

"KPKT akan mempergiatkan lagi usaha supaya satu keluarga mempunyai satu rumah," katanya.