KLANG - Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyertai Kayuhan Menjunjung Kasih 2022 sejauh 50 kilometer pada Ahad.
Baginda memulakan kayuhan bersama 938 peserta sekitar jam 8.20 pagi di Galeri Jualan Sime Darby, Bandar Bukit Raja, di sini.
Acara kayuhan edisi ketiga yang merentasi banyak kawasan bersejarah sekitar bandar diraja itu disempurnakan Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau.
Penyelaras Teknikal, Firdaus Arshad berkata, program dwitahunan anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama Sime Darby Property bagi memupuk gaya hidup sihat selain mempromosi kawasan menarik dan bersejarah di Klang.
"Jarak kayuhan sejauh 50 kilometer adalah simbolik sambutan 50 tahun Sime Darby Property. Kayuhan edisi kali ini lebih jauh berbanding 38 kilometer ketika edisi kedua pada 2019.
"Sepanjang kayuhan ini ada beberapa hentian termasuk di ikon Bandar Klang iaitu Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, pusat sukan di Pandamaran dan persimpangan Bandar Bukit Raja,” katanya.
Jelasnya, program edisi pertama bermula tahun 2019 telah berjaya menghimpunkan seramai 1700 peserta dengan jarak kayuhan 37.1 kilometer mengelilingi sekitar kawasan Daerah Klang Utara dan sebahagian kawasan Daerah Klang Selatan.
Difahamkan program yang sepatutnya dianjurkan pada tahun 2021 terpaksa ditunda pada tahun 2022 pandemik Covid-19 apabila semua aktiviti sukan tidak dibenarkan mengikut skala yang besar dan mempunyai prosedur yang ketat.
Sebelum ini, Yang Dipertua MPK Noraini Roslan berkata Kayuhan Menjunjung Kasih edisi ketiga akan melalui lebih banyak kawasan berbanding edisi sebelumnya antaranya Jambatan Raja Muda Nala dan Jambatan Kota selain melihat keunikan bangunan warisan di sekitar Klang.