LIGA semi profesional, Liga M3 dijenamakan semula apabila akan dikenali sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank selepas Liga Bolasepak Amatur (AFL) memeterai perjanjian dengan syarikat perbankan Islam, MBSB Bank Berhad di Kuching pada Sabtu.
Majlis menandatangani perjanjian berlangsung di ibu pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS) yang disempurnakan Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib.
Turut hadir Presiden FAS, Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman.
Mohd Yusoff berkata, kerjasama itu membuktikan liga tempatan bertaraf separuh profesional dan amatur mempunyai nilai komersial yang tersendiri.
"Kehadiran MBSB Bank Berhad yang sudah bertapak selama hampir 18 tahun di Malaysia melambangkan penerimaan syarikat swasta terhadap sukan bola sepak di peringkat amatur yang berteraskan komuniti setempat.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan MBSB Bank Berhad terhadap AFL untuk menjalin kerjasama demi faedah bersama.
"AFL juga maklum bahawa imej MBSB semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia dan besarlah harapan kami kerjasama ini dianggap langkah pertama dalam menyumbang kepada pembangunan sukan tanah air.
"Kerjasama ini diharap dapat membuka mata lebih banyak syarikat luar mahu pun tempatan supaya memberi perhatian kepada sukan bola sepak di peringkat amatur yang memiliki potensi besar untuk diterokai dari sudut komersial,” katanya.
MBSB Bank selaku penaja utama dan rakan bank rasmi AFL juga menjadi penaja bersama untuk saingan Liga M4 dan Liga M5 yang dikendalikan oleh AFL.
Dalam pada itu, Nor Azam berkata, pihaknya sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan AFL kerana yakin bahawa sukan bola sepak sangat dekat di hati rakyat.
"Menerusi kolaborasi itu, orang ramai berpeluang mengenali MBSB Bank dengan lebih dekat dan memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan bagi membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih berhemah,” katanya.
Mengulas pemilihan Stadium Negeri Sarawak sebagai lokasi majlis menandatangani perjanjian penajaan itu, Nor Azam berkata, Sarawak merupakan antara negeri yang memberi penekanan serius terhadap pembangunan bola sepak di peringkat amatur dan akar umbi.
"Ia dilaksanakan melalui pelbagai kejohanan peringkat daerah yang juga di kawal selia oleh AFL dan FAS seperti Liga M5.
"Kerjasama dan keterbukaan FAS untuk menjadi tuan rumah majlis ini membuktikan komitmen mereka untuk bersama-sama AFL dan MBSB Bank dalam meningkatkan mutu pertandingan peringkat semi profesional di negara ini,” ujar Nor Azam.