Kementerian Sumber Manusia cuba selesaikan penamatan PLKS

Iklan
Sivakumar menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Persidangan Muzik Klasikal Antarabangsa 2023 di Ipoh pada Ahad. - Foto Bernama
IPOH - Kementerian Sumber Manusia sedang cuba menyelesaikan masalah penamatan perkhidmatan pekerja asing yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk gedung tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas.

Menterinya, V. Sivakumar berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dan mengemukakan permohonan mengenai perkara tersebut dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub minggu lepas.

"Sejak Januari lepas, beberapa organisasi serta pertubuhan perniagaan yang terlibat (gedung tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas) bertemu dengan saya dan meminta supaya penamatan pekerja asing yang dibekukan dapat dibuka semula.

Beliau diminta mengulas mengenai arahan dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung perkhidmatan pekerja asing menggunakan PLKS di ketiga-tiga sektor berkenaan ditamatkan secara berperingkat.

Menurut Pekeliling JIM bertarikh 28 Februari lepas, majikan subsektor kedai tekstil, kedai gunting dan kedai emas tidak lagi dibenarkan memperbaharui permit PLKS untuk pekerja mereka berkuat kuasa 15 Mac, namun surat pekeliling itu tidak memperincikan sebab di sebalik penamatan itu.

Pengusaha perniagaan terbabit meminta supaya kerajaan menarik balik arahan itu yang dikatakan memberi impak kepada kelangsungan perniagaan mereka.

Dianggarkan ketiga-tiga subsektor tersebut memerlukan 15,000 pekerja asing bagi memastikan kelancarannya. - Bernama