Zii Jia dapat semula keyakinan diri

Iklan
Zii Jia meraih semula keyakinan diri setelah mara ke separuh akhir Seluruh England. - Foto Badminton Photo

BIARPUN langkah pemain profesional lelaki negara, Lee Zii Jia tersekat di separuh akhir Seluruh England, namun ia sudah cukup buat pemain itu mendapat kembali keyakinan kiri untuk terus bersaing dalam kejohanan badminton antarabangsa musim ini.

"Prestasi saya di sini (Seluruh England) membuatkan saya kembali percaya dengan kemampuan diri,” katanya.

Iklan
Iklan

Pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu berkata demikian dalam temu bual dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat aksi pada malam Sabtu.

Pemain berusia 25 tahun itu terpaksa akur tewas kepada Shi Yuqi dari China 19-21, 13-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Utilita, Birmingham.

Iklan

Kedua-dua pemain pernah menjuarai kejohanan berprestij itu dengan Zii Jia muncul juara pada edisi 2021, manakala Yuqi mendominasi saingan pada 2018.

"Saya mengharungi permulaan musim yang sukar. Pada mulanya saya meragui sama ada mampu kembali bangkit atau sebaliknya.

Iklan

"Namun saya sudah buktikannya pada kejohanan ini. Ia mungkin sehingga separuh akhir, tetapi saya mahu ambil pendekatan fasa demi fasa untuk saya menjadi lebih baik,” katanya.

Kejayaan mara ke separuh akhir di Birmingham adalah yang terbaik buat Zii Jia musim 2023 selepas kecundang pada pusingan awal dalam empat kejohanan sebelum ini.

Ia bermula dengan kejohanan Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.

Jauh di lubuk hati Zii Jia sebenarnya berharap dapat melangkah ke pentas final di Seluruh England bagi edisi kali ini.

"Saya berasa kecewa kerana tidak berjaya ke final. Yuqi bermain dengan baik terutama daripada segi strategi. Dia buat persiapan lebih baik,” katanya.

Selepas ini Zii Jia dijadualkan beraksi dalam saingan Terbuka Switzerland bermula Selasa ini.

Pada pusingan pertama dia akan menentang pemain China, Li Shi Feng.