LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada jarak sekitar 9 batu nautika barat daya Pulau Singa, di sini, pada Sabtu.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot nelayan pukat jerut itu ditahan pada jam 4 petang ketika sedang bergerak keluar dari pulau untuk menangkap ikan.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu mempunyai tujuh alat komunikasi yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Melalui pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu membawa seorang tekong bersama 24 kru warga Kemboja berusia lingkungan umur 21 hingga 49 tahun.
"Sehubungan itu, bot dan kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta SKMM 1998 kerana nelayan tidak mempunyai surat kebenaran menggunakan alat komunikasi.
Tambah Romli, kes turut disiasat mengikut Akta Imigeresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri kru warga asing yang meragukan.