PM layan pelbagai soalan, ragam belia pada program 'Temu Anwar'

Iklan
Anwar sewaktu menghadiri Dialog Anak Muda Temu Anwar sempena Pameran Memperkasa Belia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menyantuni ribuan anak muda pada program dialog ‘Temu Anwar’ bagi menjawab pelbagai soalan secara santai dan terbuka.

Menerusi program hampir dua jam itu, Anwar menjawab berpuluh-puluh soalan berkaitan isu semasa termasuk peluang pekerjaan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan ekonomi.

Iklan
Iklan

Pemimpin nombor satu negara itu turut meluangkan masa melayan ragam peserta yang ingin berswafoto dan ada juga yang tidak ketinggalan menjemput beliau ke rumah terbuka Aidilfitri.

Antara soalan yang dikemukakan pada sesi itu ialah berkaitan kesukaran memasuki sektor awam dan Perdana Menteri menjelaskan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan membuka peluang pekerjaan sekiranya terdapat kekosongan.

Iklan

"Kalau kata semua graduan masuk kerja (dalam sektor awam), akan ‘membengkak’ jadinya perkhidmatan awam ni. Saya berikan jawapan yang amat realistik dan tidak semestinya popular tetapi itulah kebenarannya. Bolehkah kita terus tambah (kakitangan) tanpa mengambil kira keperluan dan kekangan kewangan?

"SPA ni macam syarikat. Kalau dia perlu 400 orang, (maka) 400 orang,” katanya dalam program yang turut disertai Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Iklan

Anwar berkata, peluang pekerjaan dalam sektor awam akan dapat ditambah sekiranya terdapat keupayaan negara memacu ekonomi.

Beliau berkata, oleh itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang membuka peluang kepada graduan memasuki sektor swasta dengan berbekalkan kemahiran yang diperoleh daripada program tersebut di samping gaji lebih tinggi.

Menjawab soalan sama ada perlu diwujudkan peraturan bagi mereka yang menyertai latihan industri diberikan elaun, Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu dikaji kerana prinsip latihan industri adalah secara sukarela oleh syarikat.

"... tapi saya fikir tak adil bagi syarikat yang berkemampuan tak bayar, sekurang-kurangnya untuk makan serta tambang mereka dan tidak perlu membebankan keluarga.

"Semasa saya pembangkang, saya juga ada program latihan industri dan memang kita bayar sekurang-kurangnya untuk pastikan makan dan tambangnya dibayar untuk meringankan beban,” katanya.

Berhubung isu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, beliau berkata, walaupun kerajaan memaklumkan bahawa ia tidak akan dimansuh namun beberapa peruntukan dalam akta itu yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan.

Program dialog anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) itu dikendalikan oleh selebriti, Amelia Henderson dan dihadiri lebih 5,000 belia. - Bernama