PUTATAN - Parti Warisan (Warisan) mungkin akan bekerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan sudahpun mengenal pasti beberapa parti termasuk UMNO untuk bekerjasama dalam pilihan raya nanti.
"Memang kita sudah kenal pasti beberapa (parti), antaranya UMNO. Itu menjadi parti yang telah kita lihat di peringkat Sabah.
"Tetapi kita belum memutuskan lagi. (Parti tempatan) kita tunggu waktunya akan tiba," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas hadir pada Program Bersama Akar Umbi Putatan di sini pada malam Ahad.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Semporna itu turut berkata, walaupun Warisan kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, namun di peringkat Sabah parti itu tidak termasuk.
"Kerana orang kita banyak dibeli, jadi itu yang kita cukup jelas dan faham hala tuju keadaannya. Tetapi sebelum kita putuskan (kerjasama), kita kenal pasti kekuatan parti dapat diberikan keutamaan di mana menyusun atur bukan hanya pimpinan di peringkat bahagian malahan kita tonjolkan bakal-bakal pimpinan yang akan mewakili parti Warisan dalam pilihan raya yang akan datang.
"Ini yang menjadi kebimbangan kita, jadi ini yang kita sediakan sebelum kita menyatakan bahawa siapa yang kita akan berhadapan dalam pilihan raya nanti," katanya.
Ditanya lanjut sama ada Warisan akan bekerjasama semula dengan Pakatan Harapan (PH), beliau menjelaskan sekali lagi bahawa kerjasama itu sudahpun wujud dalam Kerajaan Perpaduan.
"Kami adalah yang pertama, sebenarnya sayalah yang awal-awal menyatakan sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor) masih lagi sokong Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin)," katanya.